Peruntukkan Kewangan bagi Panitia Mata Pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah Menengah: Kajian Kes Isu, Masalah dan Cadangan Penambahbaikan
Kajian kes ini dijalankan bagi meneliti secara mendalam isu berkaitan pengurusan peruntukan kewangan panitia mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di sebuah sekolah menengah luar bandar. Fokus utama kajian adalah untuk mengenal pasti punca masalah, kesan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, serta mencadangkan strategi penambahbaikan yang sesuai dan realistik. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temu bual separa berstruktur, pemerhatian berterusan di bilik bengkel RBT, serta analisis dokumen berkaitan perbelanjaan panitia. Hasil dapatan menunjukkan bahawa kekurangan peruntukan Bantuan Per Kapita Gran (PCG) merupakan isu paling ketara yang mempengaruhi operasi panitia. Kekangan ini menyebabkan kelewatan pembelian bahan dan alat, kekurangan kelengkapan bengkel, serta ketidakcukupan peralatan untuk melaksanakan aktiviti amali yang sepatutnya dijalankan mengikut silibus. Situasi ini memberi impak negatif terhadap kualiti pembelajaran, keberkesanan PdP berasaskan amali, dan motivasi pelajar untuk terlibat dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran teknikal. Selain itu, faktor seperti pengurangan bilangan murid yang mengambil mata pelajaran RBT dan pengagihan kewangan sekolah yang tidak mencukupi turut dikenal pasti sebagai punca utama kekurangan peruntukan. Berdasarkan dapatan tersebut, beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan, antaranya meningkatkan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), menjana pendapatan melalui penganjuran Karnival Inovasi, serta menyediakan modul pembelajaran RBT untuk tujuan pengumpulan dana. Daripada ketiga-tiga cadangan tersebut, penganjuran Karnival Inovasi dikenal pasti sebagai cadangan terbaik kerana berpotensi menarik penyertaan komuniti setempat, mempromosikan kreativiti pelajar dan menjana sumber kewangan alternatif secara berterusan. Implikasi kajian ini diharapkan dapat membantu memperkukuh pengurusan kewangan panitia serta menyokong usaha ke arah meningkatkan kualiti pendidikan teknikal dan vokasional secara menyeluruh.
Authors
- Nurhan Ayub
- Nur Aziela Suhaimi
- Ahmad Zulhairie Abu Bakar
- Munnirah Mohadhir@Mokhdir
- Fardila Mohd Zaihidee
- Abdul Muqsith Ahmad
Institutions
- Sultan Idris Education University (MY)
Publication Details
- Journal
- TVET Research & Innovation Journal
- Published
- 2025-12-08
- DOI
- https://doi.org/10.37134/trij.vol1.1.4.2025
- Primary Topic
- Education and Islamic Studies
- Type
- article
- Field-Weighted Citation Impact
- 0.00