WACANA PERBUALAN BAHASA TABU DALAM KALANGAN PENGGUNA \nMEDIA SOSIAL TWITTER @ X BERDASARKAN CIAPAN TERPILIH \nBERKAITAN DENGAN DIMENSI SOSIAL
Dimensi sosial berperanan menyampaikan maklumat sosial dalam proses komunikasi. Data \nkajian terdiri daripada ciapan terpilih dalam media sosial Twitter @ X yang menggunakan bahasa \ntabu. Penggunaan bahasa tabu kini didapati semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. \nFenomena ini telah dilakukan tanpa segan silu secara terbuka ketika berkomunikasi antara satu sama \nlain. Bahasa tabu yang bersifat negatif, lucah, tidak senonoh serta tidak elok untuk didengari \ndifokuskan dalam kajian ini. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis penggunaan bahasa tabu \noleh pengguna di Twitter @ X. Kajian ini turut mengaplikasikan Dimensi Sosial Holmes dan Wilson \n(2017), iaitu jarak sosial, status sosial, tahap keformalan dan fungsian sebagai panduan dalam \nmemperoleh dapatan kajian. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif deskriptif dan dianalisis \nmengikut kaedah penganalisisan teks. Dapatan kajian mendapati bahawa empat dimensi sosial oleh \nHolmes dan Wilson (2017), iaitu sosial, status sosial, tahap keformalan dan fungsian digunakan \ndalam kalangan pengguna Twitter @ X. Dapatan juga mendapati bahawa ciapan turut mengandungi \nunsur kemarahan serta didorong oleh emosi yang menjurus kepada penggunaan bahasa tabu. Selain \nitu, faktor keakraban serta jenaka turut mendorong pengguna Twitter @ X mengaplikasikan kata tabu \ndalam ciapannya. Kajian ini diharapkan dapat menjadi garis panduan kepada pengguna Twitter @ X \nagar cakna ketika menggunakan bahasa yang bertepatan dengan norma dan budaya khususnya dalam \nmedia sosial.
Publication Details
- Journal
- The International Islamic University Malaysia Repository (The International Islamic University Malaysia)
- Published
- 2024-09-02
- Primary Topic
- Linguistic, Cultural, and Literary Studies
- Type
- article
- Field-Weighted Citation Impact
- 0.00