ISTIADAT ULANGAN PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG \nMENGADAP MENJUNJUNG DULI DI NEGERI SEMBILAN: SATU TINJAUAN \nDARI PERSPEKTIF SYARAK
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Duli yang diamalkan di Negeri \nSembilan adalah sebuah upacara tradisional di Negeri Sembilan yang menggabungkan elemen adat \ndan syarak. Istiadat ini dilakukan bagi mengulangi ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Dato’- \nDato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung kepada Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri \nSembilan. Dalam konteks adat Perpatih ia merupakan aspek penting dalam mengekalkan \nkeharmonian dan kestabilan masyarakat di Negeri Sembilan. Dari perspektif Syarak, istiadat ini \njuga mencerminkan prinsip-prinsip Islam yang menggariskan peri pentingnya ketaatan kepada \npemimpin demi mengekalkan persatuan, kekuatan dan keamanan pemerintahan. Disamping itu, \nistiadat ini juga menjadi faktor yang signifikan dalam mengekalkan warisan adat Perpatih yang \nmerupakan amalan masyarakat di Negeri Sembilan yang memperkukuh ketaatan kepada pemimpin. \nArtikel ini bertujuan menjelaskan maksud dan tujuan di sebalik istiadat yang unik ini serta \nkaitannya dengan prinsip Syarak menerusi Kaedah Fiqh “Tasarruf Al-Imam ‘Ala Al-Ra’iyyah \nManutun Bi Al-Maslahah” (Tindakan pemimpin ke atas rakyatnya mesti berdasarkan unsur \nkemaslahatan). Kajian ini menggunakan kaedah kajian kualitatif dan kepustakaan dengan \nmenganalisa isu yang dikaji merujuk kepada pelbagai sumber rujukan primer dan sekunder. Di \nantara hasil kajian adalah bahawa Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap \nDuli yang diamalkan sehingga ke hari ini bukan sahaja penting dalam konteks melestarikan budaya \ndan adat sahaja, tetapi juga mempunyai signifikan yang mendalam dari perspektif Syarak kerana \nmencerminkan hubungkait di antara adat dan syarak dalam mengekalkan kestabilan, keharmonian, \ndan keadilan dalam masyarakat khasnya di Negeri Sembilan.
Publication Details
- Journal
- Analisis Harga Pokok Produksi Rumah Pada (UIN Syarif Hidayatullah Jakarta)
- Published
- 2024-09-26
- Primary Topic
- Cultural and Religious Practices in Indonesia
- Type
- article
- Field-Weighted Citation Impact
- 0.00